Monday, October 20, 2008

Mengatasi Kesalahan Anak-anak Dengan Berkhemah

Artikel dipetik dr Majalah ANIS Mei 2007 - oleh : ABU SAIF (www.saifulislam.com)

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan" ( At-Tahrim : 6)

Beberapa bulan lalu saya berpeluang untuk ke Ireland. Saya bertemu kembali dengan rakan-rakan lama, dan kini anak-anak mereka juga sudah semakin membesar, seperti Saiful Islam dan adik-adiknya. Saya asyik memerhati gelagat mereka, dan sesuai dengan umur yang semakin meningkat, " kenakalan" mereka semangkin ketara. Tetapi apa yang mengguris hati saya adalah cara rakan-rakan saya menegur dan mengawal anak mereka. Mudah, tidak perlu berleter dan masih berkesan walaupun dengan pendekatan yang lembut dan penuh kasih sayang.

Saya juga begitu dahulu. Tetapi apa yang telah mengubah saya hari ini ? Saya mudah tertekan, sesekali terlanjur juga meninggikan suara di hadapan anak-anak.

Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan belajar tentang topik-topik yang membina sifat proaktif. Saya belajar mengawal diri dan cuba menapis setiap insiden, agar saya memberi tindak balas yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram berbalas geram, dan degil berbalas cubit.

Saya berasa malu dan teruja apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey. Bidang kerjanya sama seperti saya. Kami selalu out-station untuk memberikan latihan. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting berkaitan dengan anak-anak. Bukan suatu yang mudah untuk seorang Amerika membesarkan 9 orang anak. Saya yang tiga anak ini pun sudah pening kepala.

Dalam rutin seharian membesarkan anak-anak, saya tidak suka memarahi mereka dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatla bisanya hilang. Saya tidak percaya kepada pendelatan marah sebagai teknik asas menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti.

Ingat, anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata ibu bapa, tetapi mereka tidak gagal meniru perangai dan tingkah laku kita. Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka sendiri.

Ya, memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap dia dan mandikan agar "sejuk", kemudian kami berdialog.

Biarpun soalan anak-anak bertali arus dan kadang-kadang bersimpang siur, saya sentiasa berusaha untuk setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan , semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin di kongsi oleh saif dan kini Naurah juga. Biarpun isunya hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Bukan topik yang penting, tetapi kesediaan kita untuk mendengar itu yang penting.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak memarahi anak saya ialah kerana saya rasa berdoasa kepada Allah terhadap mereka. Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan akil baligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap anak-nak kami.

Masa tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri tumpah kepada anak-anak. Saya percaya, ramai dari kalangan kita melakukan perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri dan soleh saya kepada anak-anak?

Kita berjumpa anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa, malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengatuk ketika saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Realitinya, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Wajar sangatlah kita sebagai ibu bapa memperbanyakkan sabar dan jangan mudah melenting dengan kerenah dan perangai anak-anak, sebelum cukup kasih diberi.

No comments: