Kunjungan Dakwah Habib Umar Ke Malaysia, Januari 2010 - Bhg. 1
Alhamdulillah, akhirnya kerinduan para muhibbin di Malaysia terubat apabila Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz mengunjungi bumi Malaysia pada 10 Januari – 12 Januari 2010. Walaupun singkat namun sungguh bermakna. Kali terakhir Guru Mulia mengunjungi Malaysia adalah pada Februari 2008. Lawatan yang dijadualkan pada bulan Mei 2009 telah dibatalkan. Sejak itulah para muhibbin ternanti-nanti kunjungan Guru Mulia Habib Umar dengan penuh kerinduaan. Dan akhirnya penantian ini berakhir apabila Guru Mulia Habib Umar sampai ke bumi Malaysia pada pagi 10 Januari 2010.
Untuk teman-teman yang berada di luar negeri, khususnya Ustaz Adnan, Ustaz Fitri, Ustaz Asyraf dan lain-lain di Darul Musthafa, Tarim, Ustaz Nizam dan Ustazah Noor Azma di Sudan, yang ingin tahu serba sedikit mengenai kunjungan Habib Umar kali ni, maka ambo bawakan sedikit gambaran ringkas program-program yang diadakan sepanjangan kunjungan tersebut.
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Isalm Antarabangsa Malaysia
Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz sampai di Malaysia pada pagi Ahad, 10 Januari, kira jam 1 pagi. Acara pertama yang beliau hadiri adalah perhimpunan bersama mahasiswa di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM. Alhamdulillah kehadiran memberangsangkan. Majlis di UIAM, di dahului dengan progam qiyamullail yang di pimpin oleh Ustaz Sufyan Nur al-Banjari, iaitu adinda kepada Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-Banjari. Beliau merupakan rombongan yang mengikuti Habib Umar dari Indonesia. Setelah usai sholat Shubuh maka Guru Mulia, Habib Umar memberi kuliah shubuhnya dan diterjemahkan oleh Syaikhuna al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid.
Setelah tamat program di UIAM, Guru Mulia Habib Umar berangkat ke tanah perkuburan Jalan Ipoh untuk menziarahi paman beliau, iaitu pengasas kepada Syarikat Ben Hafidz yang terletak di Wisma Yaqin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Setelahnya, Guru Mulia kembali ke rumah saudara beliau untuk berehat.
Madrasah an-Nur
Madrasah an-Nur ini ditubuhkan oleh Guru Mulia Habib Umar sewaktu kunjungan beliau pada tahun 2007. Beliau sendiri yang menamakan ianya sebagai Madras an-Nur. Pengajian sulung diadakan pada Ahad 7 Rajab 1428H, bertepatan dengan 22 Julai 2007. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Madras an-Nur, silalah kesini. Setelah memberi nasihatnya, beliau telah meluangkan masa untuk mentahnik beberapa orang bayi. Setelahnya Habib Umar terus ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya.
bersambung .......
Kunjungan Dakwah Habib Umar Ke Malaysia, Januari 2010 - Bhg. 2 (akhir)
Multaqo Ulama: Majlis Muwasolah Baina Ulama al-Muslimin – 1.Majlis Muwasolah Baina Ulama al-Muslimin adalah merupakan yang pertama di adakan di Malaysia. Kalau di Indonesia, sudah kali ke-4 diadakan. Ianya akan berlangsung pada bulan Muharram setiap tahun. Majlis ini bertujuan untuk memupuk pemuafakatan para ulama dan pendakwah di Malaysia khususnya dan Nusantara amnya. Dan majlis ini diterajui oleh Habib Umar. Petikan dari kata-kata Habib Umar;
Majlis seperti ini bukanlah bermaksud untuk membuat suatu gerakan baru, organisasi baru, parti baru atau hal-hal seperti itu kerana yang demikian itu sudah terlalu banyak dan umat Islam tidak memerlukan lagi tambahan organisasi yang serupa, sebaliknya ia bermaksud memupuk usahasama mencari penyelesaian kepada kemaslahatan ummah demi menjaga kepentingan umum umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم".
Majlis ini adalah anjuran bersama Madras an-Nur, ITMAM, IPTAF, Yayasan Sofa, Yayasan Al-Jenderami, Jamaah Khairiah, Jamaah al-Khidmah dengan sokongan daripada JAKIM dan JAIS. Ianya dihadiri oleh kira-kira 200 orang peserta yang terdiri dari tuanguru-tuanguru pondok, ustaz-ustaz, ahli akademik, pendakwah serta pemimpin NGO. Turut serta juga adalah ulama jemputan dari negara-negara jiran. Ikuti bayan oleh al-Habib Umar disini. Majlis ini berlangsung dari 10Jan hingga 11Jan. Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar. Moga-moga majlis ini menjadi acara tahunan di Malaysia.
Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya
Merupakan perhimpunan kemuncak. Sejak dari waktu asar para jemaah sudah mula memenuhi Masjid al-Falah. Masjid yang boleh memuatkan hampir 8,000 jemaah ini penuh hingga melimpah keluar.
Majlis didahului dengan bacaan Hizib Bahar, Wirdul Lathif dan ceramah oleh beberapa jemputan antaranya Ustaz Hasan dari Singapura dan Habib Sholeh al-Jufri dari Indonesia (keduanya merupakan murid dari Habib Umar), Saudara Ilyas (kalau tak silap ambo) dari Amerika Syarikat, juga murid kepada Habib Umar. Untuk membaca biografi Ustaz Hasan, boleh dibaca disini manakala biografi Habib Sholeh bin Muhammad al-Jufri boleh dibaca disini.
Usai sholat maghrib dengan diimamkan oleh Habib Umar, bacaan Maulid adh-Dhiya al-Laami’ (karangan Syaikhuna al-Habib Umar bin Hafidz) yang diselangselikan dengan bacaan qasidah. Setelah itu Syaikh ‘Abdul Karim dari Australia memberi ceramah ringkas dan diikuti pula dengan ceramah oleh Syaikh ‘Abdul Fattah dari Yaman. Kedua-duanya juga merupakan sebahagian dari rombongan Habib Umar. Setelahnya, tibalah masa yang dinanti-nantikan ….. ‘siraman rohani’ dari Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz yang diterjemahkan oleh Habib Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid ...... insyaAllah kalau ada diuploadkan di utube, al-Fagir paparkan nanti.
Saat yang paling kemuncak apabila Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz berdoa … doa yang diaminkan dengan iringan airmata para hadirin. Suasana di Masjid al-Falah tenggelam dengan tangisan dan lantunan dhikir Ya Allahu Ya Allah oleh para muhibbin … Satu suasana yang tak dapat nak digambarkan … tak terungkap dek kata-kata ….. Hanya yang berada disana dan menghayatinyalah yang merasai kelazatannya ….. Ambo dah postkan disini, sila ikuti dan hayati ....
Sepengetahuan al-Fagir, perhimpunan di Masjid al-Falah dihadiri dari muhibbin seluruh Malaysia. bahkan dari negara-negara jiram. Al-Fagir sempat bertemu teman-teman dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan juga dari Sarawak. Sempat juga ketemu dan berkenalan dengan habib dan muhibbin dari Pontianak, Banjarmasin dan Singapura. Allahu Allah. Dan dengan berkatnya Habib Umar ini juga al-fagir dapat bertemu dengan Ustaz Abu Muhammad, shohib blog Bahrus Shofa dan beberapa orang teman beliau iaitu Habib Musthafa bin 'Ali bin Ibrahim al-Haddad, Dr Amin dan seorang lagi yang al-Fagir terlupa namanya (maaf ya!). Ustaz Abu Muhammad dan rombongannya mengikuti program Habib sejak dari Masjid UIAM, kemudian kami bersama-sama ke Madrasah an-Nur. Al-Fagir juga telah diperkenalkan oleh Ustaz Abu Muhammad dengan Ustaz Nik Roskiman dari IKIM.
Setelah bersholat Isya’ diimamkan oleh Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz, para hadirin dihidangkan dengan jamuan nasi. Dan setelahnya para hadirin diberi peluang untuk bersalaman dengan Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz. Ada juga hadirin yang membawa anak-anak mereka untuk bertemu Habib Umar, mohon agar beliau doakan … Bahkan ada yang bawa baby nun dari Kedah … untuk ditahnikkan oleh Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz.
Kemudian, Habib berangkat pulang ke tempat penginapan. Esoknya, progam Majlis Muwasholah Baina Ulama al-Muslimin bersambung ….. Majlis selesai pada sebelah malamnya.
Pondok Baitul Qurro
Awal pagi 12 Jan 2010, Habib Umar berangkat dengan flight ke Johor untuk menghadiri majlis yang dianjurkan oleh pejabat Mufti Johor. Setelah itu, acara yang sudah menjadi satu kemestian bagi para habaib yang mengunjungi Malaysia, iaitu menziarahi seorang auliyaAllah iaitu al-Habib ‘Ali bin Ja’far di Batu Pahat. Setelah membuat kunjungan kepada seorang lagi Habib di Johor, maka Habib Umar berangkat ke Pondok Baitul Qurro, Melaka.
Kehadiran para muhibbin di Pondok Baitul Qurro juga sangat menakjubkan. Rasanya hampir 5, 6 ribu hadirin. Kata Ustaz Zul, pengasas pondok Baitul Qurro kepada al-Fagir sewaktu bertemu di Muzakarah Ulama Se-Malaysia di De Palma …. Merupakan satu sejarah, perhimpunan untuk majlis ilmu/ceramah agama yang teramai di Melaka. Satu rekod …. Ini semua barokahnya Habib Umar ….. begitulah lebih kurangnya.
Ya memang ramai. Al-Fagir saksikan sendiri ….
Setelah tamat program di Baitul Qurro, Habib terus bernagkat ke KLIA untuk berlepas pulang. Al-Fagir sempat juga menghantar Habib di KLIA. Terasa sayu dihati tatkala berpisah dengan Guru Mulia, terutamanya ketika beliau melambai-lambaikan tangannya dan melemparkan senyumannya. Semoga dapat bertemu lagi ...... wahai guruku. Pernerbangan dijadualkan jam 2 pagi, tetapi sekitar 12.40, lebihkurang Habib telah masuk keruangan berlepas ....
Demikian, secara ringkas catatan kunjungan Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz ke Malaysia pada Muharram 1431/Januari 2010. Segala kekurangan, mohon dimaafkan ....
Salam hormat dari,
al-Fagir Abu Zahrah, Taman Seri Gombak
2 Shafar 1431H.
sumber : http://al-fanshuri.blogspot.com/search/label/khas
No comments:
Post a Comment