Sunday, March 29, 2009

Enam pesanan khusus untuk wanita

1. Jaga solat pada awal waktu. Kalau datang haid sekalipun jika tidak dapat solat, kena duduk atas tikar sembahyang supaya anak tidak lihat kita meninggal(kan) solat.

2. Hidupkan Bacaan Hadis Nabi saw di rumah dengan keluarga. Di anjur baca Hadis Fadhilat Amal. Ini amalan sahabiah zaman Nabi saw sehingga dari rumah kita keluar anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa dunia/akhirat.

3. Baca Al Quran setiap hari walaupun hanya 8 ayat. Kalau tak mampu nak baca kerana terlalu sibuk, cukup dengan mencium Al Quran dan muhasabah 'Ya Allah, apa dosa saya hingga saya tak dapat nak baca kitab Mu pada hari ini."

4. Mendidik anak secara Islam. Mengajar anak-anak dari kecil bermula dengan doa-doa masnun.Iaitu doa seharian Nabi saw saperti doa tidur, bangun tidur, makan dan sebagainya.

5. Hidup sederhana dengan tidak membebankan suami. Setiap hari malaikat akan menghantar 500 jambangan bunga dari syurga untuk wanita yang hidup sederhana. Setiap titisan air masakan dan basuhan mereka akan menjadi zikir mohon keampunan kepada Allah swt atas wanita tersebut.

6. Galak suami untuk bermujahadah atas Agama Allah. Seorang isteri yang menggalakkan suaminya untuk solat berjemaah di Masjid/Surau akan dapat pahala berjemaah suaminya termasuk solat dia sendiri.

Tuesday, March 17, 2009

Untukmu Palestin - Raihan

Berdzikir Dengan Nama Tuhanmu
Bermunajatlah Di Tengah Malam
Bertaubat Padanya Penuh Rasa Hamba
Agar Doa Kita Di Makbulkan

Agar Palestina Kita Genggam Semula
Agar Palestin Bebas Di Tangan Kita
Kembali Damai Disirami Air
Kebenaran Al-quran dan Sunnah

Palestina Kan Dimiliki Lagi
Ingatlah Allah dan Hindarkan Dosa
Palestin Kan Aman Lagi
Dengan Ketaatan Amalan Soleh

Palestine You Will Regain Your Land
Remember Allah And Stay Away from Sin
Palestine Will Be At Peace Again
And filled With The Worship Of Allah

Dengan Kata dan Ketaqwaan
Pada Allah Yang Maha Kuasa
Ketakutan dan Kelemahan
Peluru dan Dentuman
Bukan Lagi Penghalang
Pembelaan Allah Akan Datang
Palestin. . . Palestin. . . Palestin
Palestin. . . Palestin. . .
Palestin. . .

Pada yang kecil itu ada BARAKAH

“Hasrizal, malam ini kamu gorengkan ayam boleh tak?”, Fatih bertanya.

“Goreng cara Turki, atau cara Malaysia?”, saya bertanya dengan nada gurau.

“Kalau cara Turki, baik saya sendiri sahaja yang melakukannya. Saya ini tidaklah sejahil yang kamu semua sangkakan.”, Fatih cuba mempertahankan kelemahan dirinya yang tidak mahir di dapur. Faruk dan Hasan turut ketawa.

Setiap kali saya berkunjung ke Istanbul, Fatih mesti akan meminta saya menggorengkan ayam ala Malaysia. Sebenarnya, ayam goreng ala Malaysia yang dia maksudkan itu hanyalah ayam yang digoreng dengan serbuk kunyit serta secubit garam. Kalau orang Turki, ayamnya tidak digoreng begitu. Mereka lazim menggoreng ikan dan ayam dengan tepung gandum bercampur tepung beras dan sedikit serbuk lada putih.

Syukur Alhamdulillah, persahabatan saya dengan Fatih dan rakan-rakan yang lain memberikan peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara baru. Seperkara tentang orang Turki yang menarik perhatian saya adalah sikap mereka yang cermat terhadap perkara-perkara yang kecil dan halus. Kadang-kadang pada kita, hal seperti ini tidak mempunyai sebarang signifikasi, tetapi bagi orang Turki, mereka cukup mengambil berat mengenainya.

TERTIB ORANG ISTANBUL

Saya masih ingat, semasa yang bertandang ke rumah Mahmud Bilici, rakan baik saya semenjak di Jordan. Beliau merupakan pelajar Turki yang disegani oleh rakan-rakan Turki yang lain di Amman. Mungkin sifat rendah diri, keluasan ilmu dan kefasihan Bahasa Arab yang dituturkannya, menjadikan beliau begitu karismatik seawal hari pertama saya bertemu dengan Mahmud.

Saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman. Ia tidak jauh dari Masjid Ismail Aga Camii yang menjadi markaz Tarikat Naqsyabandiyyah di Istanbul. Malam itu sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Di rumah Mahmud

Saya kagum dengan ketelitian Mahmud. Kalau saya, mungkin cawan yang sudah sedia bersih itu akan terus diisi dengan air masak. Tetapi Mahmud membilasnya dengan air terlebih dahulu sebelum diisi dengan air masak. Orang Turki memang pembersih.

Saya juga selalu melihat tong sampah di lokasi pembuangan sampah di Istanbul diberus dan dibersihkan oleh pekerja Istanbul Buyuksehir Belediyesi (Dewan Kota Metropolitan Istanbul) dengan berus dan air. Wah, tong sampah pun mesti bersih dan kemas!

Kebersihan rumah kawan-kawan Turki juga sentiasa mengagumkan saya. Walaupun ada di kalangan mereka yang merokok, rumah bujang perokok mereka juga masih bersih. Buku-buku tersusun rapi, pakaian elok terletak, malah bilik mandi dan tandas juga tidak pernah bercampur. Kebanyakan rumah di Istanbul, mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Maka satu digunakan untuk mandi manda dan satu lagi dikhususkan untuk buang air. Bilik mandi pula lazimnya berkarpet dan saya belajar untuk mandi dan berwudhu’ tanpa membasahkan karpet itu. Hmm, agaknya kalau ada orang Turki yang bergaduh laki bini, tidur dalam bilik air pun masih okay lagi.

Saya kira, kebersihan yang terbit dari iman, memang benar-benar dapat dirasakan di Turki.

Kalau di masjid, berhati-hati. Anda mungkin akan diminta keluar oleh ‘orang masjid’ sekiranya anda masuk ke masjid dengan stokin yang ‘tidak molek’. Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh pakaian orang lain.

Tidak lupa, di sesetengah masjid, seperti yang pernah saya lihat di Bursa, akan dikhususkan masa sekitar jam 10 pagi untuk kaum ibu sahaja. Mereka datang ke masjid untuk mengelap dinding, anjung tingkap, tiang dan perabot masjid, agar sentiasa bersih dan kemas. Saya belajar bagaimana tuntutan iman menjadi corak hidup, semasa saya di Turki.

Malah soal teliti mereka dengan perkara-perkara yang sering dipandang ringan oleh sesetengah kita, mempunyai akar umbi yang panjang di era Islam Othmaniyyah.

TERTIB DI ERA OTHMANIYYAH

Sultan Suleyman al-Qanuni yang memerintah Khilafah Othmaniyyah dari tahun 1520 – 1566 telah memberikan contoh yang sama. Semasa beliau mengeluarkan belanja sendiri membina Masjid Suleymaniye di Istanbul, Sultan Suleyman telah mewajibkan semua pekerjanya bekerja membina masjid itu dalam keadaan berwudhu. Tentunya ia tidak ada dalam ‘rukun membina masjid’. Tetapi ada sesuatu yang ingin dicapai oleh baginda. Sultan Suleyman akan memecat sesiapa yang diketahuinya tidak mematuhi syarat tersebut.

Apakah yang terhasil daripada ketelitian Sultan Suleyman terhadap perkara-perkara kecil begitu? Jawapannya adalah BARAKAH.

Masjid Suleymaniye pernah ditutup di zaman AtatΓΌrk dan dijadikan kandang kuda. Ia pernah dicemar hingga ke tahap itu. Tetapi hari ini, apabila saya bersolat di Suleymaniye Camii, saya mendapat suatu ‘rasa’ yang sukar diungkapkan dengan kata. Tenang, tenteram, rasa mahu dan mahu menambah ibadah, pelbagai perasaan yang positif itu mungkin datang dari sebuah masjid yang ada barakah. Masjid yang dibina dengan mengambil kira soal remeh-temeh yang hari ini tidak kita pedulikan.Jauh benar bezanya masjid itu dengan masjid kita yang mimbarnya pun kekadang dibina oleh tangan-tangan penyembah berhala!

MEHMET VS MUHAMMAD

Soal orang Turki yang teliti dengan perkara-perkara yang halus ini, mengingatkan juga saya kepada perbualan bersama Pakcik Mehmet, ayah Fatih, semasa kami bercuti di Bolvadin.

“Pakcik, saya ingin bertanya sesuatu tentang nama pakcik. Bolehkah?”, saya bertanya kepada Pakcik Mehmet, ayah Fatih.

“Tentu sahaja, nak. Tanyalah. Kenapa pula dengan nama pakcik?”, ayah Fatih sedikit terkejut dengan permintaan saya.

“Saya terfikir, orang Turki ramai yang bernama Mehmet seperti pakcik. Saya kira Mehmet itu bermaksud Muhammad, kan?”, saya bertanya.

“Betul. Mehmet bermaksud Muhammad. Kenapa, Hasrizal?”, tanya Pakcik Mehmet kepada saya.

“Jika nabi kita, nama baginda disebut Muhammed. Hazreti Peygamber Muhammed. Mengapa nama Rasulullah disebut Muhammad sedangkan nama pakcik disebut Mehmet?”, saya cuba mencari penjelasan dari pakcik.

“Oh, itu rupanya soalan kamu. Setahu pakciklah, nama Muhammad itu kami khususkan hanya pada baginda Rasulullah SAW. Bukan apa. Kalau kami namakan anak-anak kami sebagai Muhammad, nanti kalau mereka buat hal, tercemar pula nama Rasulullah”, kata Pakcik Mehmet.

“Tercemar macam mana tu?”, saya kurang faham apa yang Pakcik Mehmet maksudkan.

“Bayangkan, kalau si Fatih ni pakcik namakan Muhammad. Tiba-tiba dia mencuri buah epal jiran sebelah. Nanti apa kata orang kampung? Isy, jahat sungguh Muhammad tu. Curi epal jiran! Hah, kan tak elok, perbuatan mencuri dinisbahkan kepada nama semulia Muhammad!”, Pakcik Mehmet begitu bersemangat bercerita kepada saya.

Terlopong saya dibuatnya!

Begitu sekali mereka mengambil kira soal ‘sekecil ini’. Maka amat tidak benarlah apa yang pernah ditulis oleh seorang penulis di dalam akhbar di tanah air. Sekembalinya beliau dari lawatan di Turki, beliau menulis dan menyentuh secara khusus isu nama Mehmet ini. Katanya, orang Turki sudah terlalu sekular sehingga hendak menyebut nama Rasulullah pun sudah tidak mampu. Sudah pelat, katanya.

Walhal pemikiran penulis itu yang pelat! Menafsirkan budaya orang lain dengan pandangan sendiri. Mujur artikelnya di dalam Bahasa Malaysia. Kalau dibaca oleh orang Turki, tentu tersinggung hati mereka dengan persepsi kita seperti itu.

PELAJARAN DARI SERBUK KULIT ROTI

Ayam sudah siap terhidang.

Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.

“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!”, saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja membaca masing-masing.

Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang.

“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat…!”, saya memuji Islam.

“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan, kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya menurunkan barakah”, kata Islam.

Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadith Nabi SAW:

Dari Jabir, beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari)nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah”

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pakcik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar.

Itu di Turki.

TERTIB MAK ANJANG DI LONDON


Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi itu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.

Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudian kerak nasi itu pula direndam di dalam air panas dan kemudian ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.

Saya amat menghargai pelajaran itu.

Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah.

Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar yang disangka segala-galanya.

Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah membuat kebaikan yang mudah dan kecil tapi berpanjangan.Mengubah ranting dari jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudara dengan air muka manis penuh senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan.

Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada mustadh’afeen di Palestin! Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 3 Jun 2006